Batik Air terus meningkatkan rangkaian domestiknya di Malaysia Timur dengan memperkenalkan dua laluan baharu yang menghubungkan Kota Kinabalu (BKI) dengan Kuching (KCH) dan Sandakan (SDK). Kedua-dua perkhidmatan terus ini akan bermula 15 Disember 2025.
Langkah ini hadir seiring peningkatan permintaan perjalanan antara Sabah dan Sarawak, selain menyokong usaha merancakkan Visit Malaysia 2026 (VM2026). Laluan baharu dijangka memudahkan pergerakan pelancong, mempercepat urusan perniagaan serta mewujudkan hubungan lebih cekap antara bandar-bandar utama di Borneo.

KK – Kuching (7x seminggu)
Kuching kekal sebagai destinasi tumpuan dengan budaya yang unik, seni bina bersejarah dan kepelbagaian kuliner. Laluan terus ini dijangka menggalakkan kerjasama serta pertumbuhan ekonomi kedua-dua negeri.
KK – Sandakan (7x seminggu)
Sandakan, yang terkenal dengan pusat pemuliharaan hidupan liar, pulau-pulau tenang dan daya tarikan ekopelancongan, turut mendapat manfaat melalui sambungan lebih mudah untuk pelancong dan komuniti setempat.
Promosi: “Family Vacay Starts at Borneo”
Sempena pengumuman ini, Batik Air melanjutkan kempen promosi dengan tambang sehala serendah RM69 ke destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak. Tempoh tempahan: sehingga 30 November 2025, untuk perjalanan sehingga 30 Januari 2026.

Melangkah ke 2026, Batik Air turut merancang perluasan rangkaian antarabangsa dengan memperkenalkan laluan terus Kota Kinabalu–Singapura (BKI–SIN) bermula 12 Februari 2026. Langkah ini dijangka meningkatkan lagi akses Sabah ke destinasi global penting, khususnya bagi pelancong, pelajar serta komuniti perniagaan.
Ketika ini, rangkaian antarabangsa Batik Air dari Kota Kinabalu turut merangkumi perkhidmatan terus tiga kali seminggu ke Seoul (Incheon), membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih lancar ke Korea Selatan tanpa transit.










