PEMBAYARAN QR DI ASEAN TERUS MENINGKAT. 12.9 JUTA TRANSAKSI 1H 2025

0
198

Pembayaran rentas sempadan guna kod QR kini semakin jadi pilihan di ASEAN, dengan lebih 12.9 juta transaksi direkodkan dalam separuh pertama 2025. Trend ini menunjukkan rakyat rantau ini semakin selesa dengan gaya hidup tanpa tunai, terutama ketika melancong atau berbelanja di negara jiran.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perkembangan ini memberi asas kukuh untuk kerjasama lebih besar antara negara serantau.

Antara usaha utamanya ialah Projek Nexus, inisiatif yang dipimpin Malaysia bersama rakan ASEAN untuk menyambungkan sistem pembayaran segera. Hasilnya? Pembayaran merentas negara boleh berlaku hampir serta-merta, sama seperti pindahan bank dalam negara.

Selain pembayaran digital, ASEAN juga sedang memacu integrasi ekonomi melalui pelbagai perjanjian penting seperti ATIGA, RCEP dan perjanjian ekonomi digital DEFA — semuanya bertujuan mengurangkan kos perniagaan, memperkukuh rantaian bekalan dan menggalakkan pelaburan intra-ASEAN.

Hubungan ekonomi ASEAN dengan kuasa besar seperti China, Jepun dan Korea juga terus berkembang. Institusi seperti AIIB telah menyalurkan lebih AS$50 bilion untuk projek berkaitan iklim di ASEAN, manakala JAIF pula menyumbang lebih AS$894 juta bagi program pembangunan sejak 2006.

Di luar Asia, hubungan dengan EU dan Amerika Latin turut mencipta peluang baharu. ASEAN kini menjadi rakan dagang ketiga terbesar EU di luar Eropah dengan perdagangan bernilai AS$200 bilion setahun.

Kesimpulannya, Asia Tenggara kini bukan saja jadi nadi ekonomi serantau, malah semakin bersedia untuk menjadi hab pembayaran digital yang menghubungkan dunia. – Berita Harian