AIRASIA BERI PILIHAN PAKAI HIJAB KEPADA KRU KABIN

0
88

AirAsia hari ini mengumumkan kemas kini penting dalam polisi pakaian seragamnya — kru kabin wanita kini diberikan pilihan untuk memakai hijab ketika bertugas, sejajar dengan usaha syarikat penerbangan itu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan penuh hormat.

Langkah ini mencerminkan budaya AirAsia yang sentiasa berkembang mengikut maklum balas pekerja, selain komitment syarikat untuk memastikan setiap Allstar berasa yakin, selesa dan bangga ketika mewakili jenama AirAsia di mana sahaja mereka terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata pembaharuan ini adalah cerminan kepelbagaian tenaga kerja AirAsia yang terus berkembang sebagai syarikat penerbangan global.

“Seragam kami sentiasa menitikberatkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan. Evolusi ini mengukuhkan lagi keyakinan kakitangan selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya.

Sebelum ini, kru kabin AirAsia telah memakai hijab di laluan tertentu seperti Jeddah, di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan. Polisi baharu ini memperluaskan pilihan tersebut kepada semua kru kabin wanita, memastikan keseragaman standard tanpa mengabaikan identiti jenama AirAsia.

Menurut Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan, pasukan kru kabin datang daripada pelbagai latar belakang dan budaya, namun berkongsi komitmen yang sama terhadap layanan bertaraf dunia.

“Polisi baharu ini mencerminkan nilai kepelbagaian yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus mendapatkan maklum balas Allstars dalam proses reka bentuk dan pelaksanaan. Sasaran kami adalah untuk memulakan pada Ramadan 2026,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes menegaskan bahawa pandangan kakitangan merupakan antara sebab kejayaan AirAsia selama ini.

“Apabila perkara ini dibangkitkan kepada pengurusan, kami perlu menilai dengan serius. Menghormati pandangan dan kepercayaan berbeza adalah sebahagian daripada siapa kami,” jelasnya.

Seragam merah ikonik AirAsia akan dikekalkan dengan pilihan hijab serta seluar yang direka khas, sama seperti yang digunakan oleh kru di laluan Jeddah bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi imej jenama di seluruh rangkaian penerbangan.