Ribut Tropika Senyar kini disahkan telah ‘lenyap’, sekali gus tidak lagi memberi ancaman langsung kepada Malaysia.
Namun begitu, keadaan cuaca masih dipengaruhi oleh sisa-sisa hujan daripada sistem ribut berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, walaupun Senyar telah ‘mati’, masih terdapat taburan hujan yang terbawa daripada sistem tersebut.
“Ya, betul ia sudah mati. Tetapi masih ada lagi tinggalan hujannya. Cuma, ada satu lagi sistem cuaca baharu di luar pantai Kuantan yang terbentuk pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan satu lekukan tropika dikesan semakin menghampiri perairan Pantai Timur. Sistem berkenaan berada pada kedudukan latitud 4.0° utara dan longitud 104.0° timur — kira-kira 81 kilometer di timur laut Kuantan.
Lekukan tersebut bergerak perlahan ke arah timur laut pada kelajuan sekitar 5 km/j, dengan angin maksimum mencecah 56 km/j.
Menurut MetMalaysia, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang, serta laut bergelora terutama di kawasan Laut China Selatan. – Kosmo Online









